Panduan Untuk Bakal Pelabur Di Pasaran Saham
Posted by Unknown on 19:22:00 with No comments
Lakukan Ujian Kewangan Kendiri
Analisis objektif kewangan, kekangan dan ketahanan terhadap risiko. Tanya diri sendiri samada anda sudah bersedia dari segi kewangan untuk melabur di pasaran saham? Jangan sekali-kali meminjam untuk melabur di pasaran saham. Dalam pasaran yang sentiasa turun naik, anda boleh kehilangan wang yang dipinjam dan masih terpaksa membayar pinjaman tersebut.
Berurusan Hanya Dengan Pihak Berlesen
Syarikat broker saham anda dan wakil peniaganya mesti dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC). Untuk semakan segera, sila layari tapak web SC atau hubungi 03-62048000 (Jabatan Pelesenan)
Buka Akaun Dagangan CDS
Buka akaun CDS (Sistem Depositori Pusat) dan akaun dagangan di syarikat broker saham anda. Akaun ini adalah untuk kegunaan eksklusif anda. Jangan benarkan sesiapa, termasuk wakil peniaga anda menggunakannya untuk urusniaga mereka sendiri.
Ketahui Produk Yang Diurusniagakan di Bursa Malaysia.
Buat penyelidikan. Kenali produk-produk yang diurusniagakan di Bursa Malaysia. Dapatkan maklumat yang secukupnya mengenai produk-produk tersebut daripada wakil peniaga atau jika tidak, layari tapak web Bursa Malaysia.
Ketahui Tentang Syarikat
Sebelum melabur, buat penyelidikan (ya, sekali lagi!) terhadap syarikat yang anda bercadang untuk membeli sahamnya. Kenali syarikat itu dengan membaca prospektus, laporan tahunan dan artikel dalam akhbar. Keputusan pelaburan anda mestilahberdasarkan maklumat. Elakkan khabar angin dan ramalan.
Berikan Arahan Yang Jelas
Arahan kepada wakil peniaga mestilah jelas. ” Fifteen” lot dan ”fifty” lot bunyinya mungkin sama di telefon. Berhati-hati kerana di pasaran saham, komunikasi yang tidak betul boleh menyebabkan anda mengalami kerugian yang banyak.
Semak Nota Kontrak Anda
Setelah anda berurusniaga, semak dengan teliti setiap nota kontrak sebaik-baik sahaja anda menerimanya. Jika terdapat sebarang kesilapan, hubungi syarikat broker saham anda dengan segera untuk membuat pembetulan.
Pantau Pelaburan Anda
Jangan biarkan pelaburan anda tanpa dipantau. Perkara yang anda tidak ambil peduli itu mungkin nanti boleh menyusahkan anda.
Penuhi Tanggungjawab Dan Laksanakan Hak Anda!
Sebagai pelabur, anda mempunyai tanggungjawab untuk dipenuhi dan hak untuk dilaksanakan. Jangan mengabaikannya.
0 comments:
Post a Comment